Salam,
Masa : Kuliah antara Maghrib dan Isyak Tempat : Masjid Ar-Rayyan Miri, PermyjayaTajuk 1 :Cara anak-anak yang telah menderhaka kepada ibubapanya, bagaimana nak menebus dosa yang telah dilakukan sedangkan ibubapa telah tiada.
1. Bertaubat dari perkara dosa dan maksiat, tinggalkan perkara-perkara buruk tersebut
2. Hubungkan silaturrahim dengan ahli keluarga ibubapa, dan juga sahabat handai mereka
3. Bersedekah dan niatkan sedekah tersebut kepada ibubapa
Diriwayatkan bahawa pada setiap hari Jumaat, amalan anak-anak akan dibentangkan kepada ibubapa di"sana" dan bagi anak yang soleh, cerialah wajah ibubapanya, manakala yang sebaliknya, sedih dan muramlah wajah keduanya
Tajuk 2 :Sunat kita berpakaian putih kerana pakaian putih itu mengingatkan kita akan pakaian yang akan kita kenakan semasa di liang lahad, setelah meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.
Tajuk 3 :Berselawatlah ke atas Rasullullah S.A.W kerana sesungguhnya malaikat dan juga Allah S.W.T juga berselawat ke atas beliau.
Satu kisah benar yang berlaku di Timur Tengah, mengenai sekeluarga yang bermusafir. Ditakdirkan ayahnya meninggal dunia semasa bermusafir itu, dan jenazahnya bertukar warna menjadi hitam, sedangkan kulit asalnya berwarna cerah. Maka sugullah anaknya mengenangkan ayahnya meninggal dalam keadaan demikian. Dalam kesedihan tersebut, dia tertidur. Dalam tidurnya, dia bermimpi didatangi seseorang, paras rupanya amat elok, wajahnya bersinar dan tubuhnya perkasa. Insan tersebut membuka kain tutup jenazah ayahnya, dan membacakan doa. Serta merta, dengan izin Allah, jenazah ayahnya kembali ke paras dan keadaan asal, bahkan lebih elok lagi. Dia pun bertanya kepada orang asing tersebut, "Siapakah dikau ?".
Akulah Rasullullah S.A.W, aku datang untuk memberikan syafaat ke atas ayahmu. Semasa hayatnya, dia banyak berbuat dosa dan maksiat. Namun satu amalan yang sentiasa diamalkannya ialah berselawat ke atasku. Maka dia berhak ke atas syafaatku, dan hari ini aku datang untuk memberikan syafaatku kepadanya.
Lantas, pemuda itu terjaga, dia melihat dan memeriksa jenazah ayahnya. Maha Suci Allah penguasa alam semesta dan isinya, kejadian tersebut bukan mimpi biasa, ianya benar-benar terjadi.
Maka, janganlah kita leka dan alpa dari mengingati Allah S.W.T dan berselawat ke atas Rasullullah S.A.W, kerana sesungguhnya Allah S.W.T dan malaikat turut berselawat ke atasnya. Jangan kita jadi orang yang kedekut, sedangkan syafaat Rasullullah S.A.W amat kita perlukan di "sana" kelak. Berselawatlah kita ke atas Rasullullah S.A.W , terutamanya pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Moga bermanfaat untuk semua
.