Masjid Ar-Rayyan Miri

Masjid Ar-Rayyan Miri

Bagaimana dengan kehadiran anda ke rumah Allah ? Tandakan waktu solat yang anda hadir

Tuesday, February 16, 2010

Kuliah ( Anak Derhaka, Pakaian Putih, Keutamaan Berselawat )

Salam,

Masa : Kuliah antara Maghrib dan Isyak Tempat : Masjid Ar-Rayyan Miri, Permyjaya

Tajuk 1 :

Cara anak-anak yang telah menderhaka kepada ibubapanya, bagaimana nak menebus dosa yang telah dilakukan sedangkan ibubapa telah tiada.

1. Bertaubat dari perkara dosa dan maksiat, tinggalkan perkara-perkara buruk tersebut
2. Hubungkan silaturrahim dengan ahli keluarga ibubapa, dan juga sahabat handai mereka
3. Bersedekah dan niatkan sedekah tersebut kepada ibubapa

Diriwayatkan bahawa pada setiap hari Jumaat, amalan anak-anak akan dibentangkan kepada ibubapa di"sana" dan bagi anak yang soleh, cerialah wajah ibubapanya, manakala yang sebaliknya, sedih dan muramlah wajah keduanya

Tajuk 2 :

Sunat kita berpakaian putih kerana pakaian putih itu mengingatkan kita akan pakaian yang akan kita kenakan semasa di liang lahad, setelah meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.


Tajuk 3 :

Berselawatlah ke atas Rasullullah S.A.W kerana sesungguhnya malaikat dan juga Allah S.W.T juga berselawat ke atas beliau.

Satu kisah benar yang berlaku di Timur Tengah, mengenai sekeluarga yang bermusafir. Ditakdirkan ayahnya meninggal dunia semasa bermusafir itu, dan jenazahnya bertukar warna menjadi hitam, sedangkan kulit asalnya berwarna cerah. Maka sugullah anaknya mengenangkan ayahnya meninggal dalam keadaan demikian. Dalam kesedihan tersebut, dia tertidur. Dalam tidurnya, dia bermimpi didatangi seseorang, paras rupanya amat elok, wajahnya bersinar dan tubuhnya perkasa. Insan tersebut membuka kain tutup jenazah ayahnya, dan membacakan doa. Serta merta, dengan izin Allah, jenazah ayahnya kembali ke paras dan keadaan asal, bahkan lebih elok lagi. Dia pun bertanya kepada orang asing tersebut, "Siapakah dikau ?".

Akulah Rasullullah S.A.W, aku datang untuk memberikan syafaat ke atas ayahmu. Semasa hayatnya, dia banyak berbuat dosa dan maksiat. Namun satu amalan yang sentiasa diamalkannya ialah berselawat ke atasku. Maka dia berhak ke atas syafaatku, dan hari ini aku datang untuk memberikan syafaatku kepadanya.

Lantas, pemuda itu terjaga, dia melihat dan memeriksa jenazah ayahnya. Maha Suci Allah penguasa alam semesta dan isinya, kejadian tersebut bukan mimpi biasa, ianya benar-benar terjadi.

Maka, janganlah kita leka dan alpa dari mengingati Allah S.W.T dan berselawat ke atas Rasullullah S.A.W, kerana sesungguhnya Allah S.W.T dan malaikat turut berselawat ke atasnya. Jangan kita jadi orang yang kedekut, sedangkan syafaat Rasullullah S.A.W amat kita perlukan di "sana" kelak. Berselawatlah kita ke atas Rasullullah S.A.W , terutamanya pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Moga bermanfaat untuk semua

.

Saturday, February 13, 2010

Sejarah Masjid Ar-Rayyan Miri

Proses penambahbaikan struktur fizikal masjid ( gambar ihsan pengerusi masjid )


Program Korban dan Aqiqah sempena Hari Raya Aidiladha


Kumpulan zikir Masjid Ar-Rayyan



Bangunan Masjid Ar-Rayyan pada asalnya merupakan sebuah surau kecil yang disumbangkan oleh pihak Naim Cendera Sdn. Bhd. selaku pemaju kepada salah satu penempatan perumahan yang terbesar di Permy Jaya. Penduduk di sini mempunyai kepelbagaian latar belakang. Fasa demi fasa pembesaran yang telah dilaksanakan cukup untuk menceritakan peningkatan keperluan pembangunan kerohanian yang diperlukan oleh masyarakat Islam setempat.

Antara pencapaian yang telah diperolehi oleh masjid ini ialah dikurniakan anugerah Masjid Contoh sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak 1427H. Kepelbagaian aktiviti pengimarahan dan kebajikan menjadikan masjid ini sebagai pusat maklumat utama khususnya bagi masyarakat Islam disini.

Bangunan yang baru dibina pada lapan tahun yang lepas ini telah dirasmikan oleh Tuan Abdul Hamid bin Mohammad Yusoff selaku Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perumahan dan Pembangunan Sarawak pada 21 Mac 2001. Keluasan tanah untuk pembinaan masjid ini ialah seluas 3900 meter persegi.

Kedudukan bangunan masjid ini terletak di Lot 5144, Bandara Baru Permy Jaya, Tudan 98107, Miri. Masjid ini menampung seramai 500 orang jemaah.

Gotong Royong Masjid ( Jubin Dapur )


- Encik Mustapha di bahagian dapur -

Tanggal 13 Feb 2010, Masjid ar-Rayyan ( MAR) mengukir sejarah kecil dengan satu lagi penambahbaikan terhadap aspek fizikal masjid. Bahagian yang dinaik taraf adalah pada bahagian dapur.

Sebelum ini, lantainya dialas dengan karpet, penambahbaikan sekarang adalah untuk meletakkan jubin, bukan sahaja bersih dan lebih praktikal, tetapi juga menambah seri dapur untuk keselesaan semua para jemaah, terutamanya yang bertugas di dapur.

Sumbangan diperolehi dari warga jemaah sendiri, baik dari aspek material dan fizikal. Projek bermula seawal pukul lapan pagi dan tidak kurang dari 10 orang jemaah lelaki, tua dan muda yang membantu dan bergotong-royong. Dijadualkan bahawa proses meletakkan jubin akan diadakan pada esok hari ( Ahad, 14 Febuari 2010 ) dan ini semestinya dilakukan oleh kalangan jemaah yang mahir dalam aspek memasang jubin.

Kerjasama ini satu amalan yang bukan sahaja meringankan tugas, bahkan yang utamanya adalah boleh mengeratkan dan menghubungkan siilaturrahim antara jemaah masjid. Sumbangan tidak semestinya berunsurkan material semata-mata ( wang ringgit, peralatan ), bahkan juga boleh dalam bentuk kepakaran ( membina dan selenggara bangunan, kemahiran pengurusan, ilmu pengetahuan ) dan lain-lain lagi bentuk yang memberikan sumbangan dna faedah.

Semoga usaha ini mampu menjadikan Masjid Ar-Rayyan sebagai satu institusi yang bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat, bahkan menjadi pusat kegiatan masyarakat, dakwah dan juga ekonomi khususnya warga Islam di Bandar Baru Permyjaya. Pendedahan dan teladan yang positif ini seterusnya secara tidak langsung mendidik dan mentarbiah golongan muda, remaja dan kanak-kanak sebagai persiapan mereka yang akan merajui kepimpinan MAR kelak.